Lima Penjuru Di Pantai Manis… Calon BN Yakin Pengundi Bijak Buat Pilihan, Serik Silap Memilih

PAPAR, 14 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, Mohd Tamin@Tanim Zainal percaya dan penuh yakin pengundi di kawasan berkenaan cukup bijak membuat pilihan walaupun BN berdepan dengan pertandingan lima penjuru di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 26 Sept ini.

Ini kerana kata beliau rata-rata penduduk mula sedar dan tahu bahawa tersilap memilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak menghasilkan apa yang diperkatakan oleh Warisan malah menjadi sebaliknya apabila janji tidak ditunaikan.

‘’Banyak janji daripada kerajaan sebelum ini telah terbukti semuanya tidak terlaksana dan jika dilihat kepada janji terkini seperti bantuan RM300 semasa negara dilanda  COVID-19 baru-baru ini ianya tidak tertunai dan rakyat Sabah khususnya telah terasa benda-benda seumpama itu,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi usaha untuk memastikan BN mencapai kemenangan akan terus dilipatgandakan bagi meyakinkan pengundi agar membuat pilihan yang betul dan tidak lagi terbawa-bawa dengan fitnah dan tohmahan sepertimana yang berlaku dalam PRU yang lalu.

‘’Alhamdulillah selepas proses penamaan calon pada Sabtu, kita terus bergerak bersama jentera dan  kekuatan yang ada terus dilaksanakan bersama. Harapan saya buat semua pengundi…buatlah pilihan yang bijak kerana pilihan yang lama sudah terasa memang silap dan buat pilihan yang terbaik dengan memilih BN.

‘’Saya tidak berjanji apa-apa tetapi jika diberi kepercayaan oleh pengundi di Pantai Manis, insya-Allah saya akan bekerja semaksima mungkin dan sebaik mungkin serta akan membawa suara masyarakat Pantai Manis untuk kepentingan dan manfaat bersama,’’ ujarnya.

Tamin akan berdepan dengan empat lagi calon lain iaitu Datuk Yahiya Awang Kahar Kassimb dari Parti Warisan, Awang Damit @ Awg Sahzain Pg Abd Razak dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Mazreca John dari Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Fauzi Ibrahim dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Pada Pilihan Raya Umum yang lalu, DUN Pantai Manis dimenangi oleh Parti Warisan, Aidi Mokhtar dengan majoriti 2,108 undi yang membabitkan persaingan empat penjuru iaitu BN, PCS, PHRS.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.