Kawasan Tadahan Air Jadi Mangsa… Warisan Janji Beri Tanah Hutan Simpan, Siapa Mereka?

LIBARAN, 14 Sept – “Bagaimana pemimpin Warisan boleh janji beri tanah? Itu kawasan tadahan air. Pokok balakpun lebih sedepa besar, jadi bagaimana pemimpin Warisan boleh berjanji untuk beri tanah itu kepada pengundi di Kinabatangan… itu semua tipu,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau kesal dengan tindakan pemimpin Warisan yang menabur janji palsu di Parlimen Kinabatangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya semata-mata mahu undi.

“Kebetulan saya bertanding di Kinabatangan jadi terdapat satu surat yang ditandatangani dan disokong oleh Ketua Menteri iaitu tawaran tanah kepada penduduk Kinabatangan… lebih lima ribu hektar untuk tujuan perkampungan baru tapi malangnya saya tengok kawasan yang dipohon itu adalah kawasan hutan simpan iaitu bukan sahaja kawasan tadahan air tetapi macam-macam ada, bermakna ia adalah kawasan dilindung. Hutan itu tidak pernah dikacau, tawaran tanah yang dibuat oleh pemimpin Warisan ini memang tidak boleh diterima.

“Jadi, bagaimana pemimpin Warisan boleh menggunakan pancingan tersebut untuk pancing kepada pengundi di sana dengan harapan seolah-olah akan dianugerahkan tanah itu kepada penduduk bila calon mereka menang nanti.

“Ini satu pembohongan dan satu kerja yang tidak masuk akal yang dilaksanakan oleh pemimpin Warisan di sana untuk berhadapan dengan saya,” ujar beliau dalam sidang media selepas program perjumpaan bersama jentera BN Libaran di sini, hari ini.

Bung Moktar turut mengingatkan kepada para pengundi agar jangan lagi tertipu dengan janji manis Warisan.

Dalam program yang sama, Bung Moktar turut menjelaskan, sebagai Pengerusi BN Sabah, beliau akan menjelajah ke seluruh Sabah bagi memberi semangat di setiap DUN yang BN bertanding.

“Hari ini adalah hari ketiga saya melakukan jelajah di seluruh Sabah. Tugas sebagai Pengerusi BN Sabah bukan sahaja untuk memberi sokongan dan kekuatan tetapi adalah untuk memastikan semua jentera bersiap sedia bergerak mendekati pengundi.

“Nak menang kena lakukan kerja macam orang yang mahu menang. Tapi ini tidak bermakna saya mengabaikan pengundi di DUN tempat saya bertanding iaitu di Lamag,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.