Jentera BN Tekad Kembali Raih Sokongan, Pastikan Rakyat Tidak Tertipu

TAWAU, 14 Sept – Tempoh 26 bulan Parti Warisan menjadi kerajaan di Sabah sudah cukup untuk membuatkan rakyat melakukan penilaian berbanding Barisan Nasional (BN) dengan melihat parti mana yang lebih baik dalam membela rakyat.

Sehubungan itu, melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan pada 26 September, tempoh berkempen akan diaplikasi sepenuhnya oleh anggota jentera BN bagi meraih sokongan pengundi.

Bagi Norsiah Bayai, 64, yang menjadi jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Andrassy, Dewan Undangan Negeri (DUN) 67 Balung berharap agar jentera wanita khususnya petugas Jalinan Rakyat (JR) akan dapat melaksanakan tugasan untuk meyakinkan pengundi.

“Harapan saya, petugas JR akan dapat melaksanakan tugasan untuk meyakinkan pengundi-pengundi bahawa BN adalah parti yang boleh membela rakyat di negara ini amnya dan khususnya di Sabah.

“Tinggilah harapan saya agar kita sama-sama menyokong calon BN. Kepada pengundi-pengundi yang sekarang ini sedang berada di atas pagar agar juga saya berharap mereka akan mengundi calon BN kerana BN adalah parti yang boleh menjamin masa depan rakyat bukan saja di Sabah tetapi seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Hal tersebut turut dipersetujui oleh Juma Abdullah, 63, yang bertekad untuk membawa kembali pengundi-pengundi yang telah tertipu dengan Parti Warisan untuk memberikan sokongan kembali kepada BN.

“Memang sebelum ini pihak lawan banyak menarik orang-orang BN ke dalam parti mereka tapi sekarang ini kita perlu usaha dan terangkan kembali bahawa kita lebih baik dari Parti Warisan.”

Ujarnya, anggota jentera di DUN Balung akan buktikan sepenuh hati bahawa BN lebih baik malah perjuangan UMNO tetap hidup biarpun suatu ketika hampir keseluruhan ahli jawatankuasa UMNO Tawau meninggalkan parti dan menyokong Warisan.

“Sekarang ini pun sudah ada yang kembali kepada BN selepas diingatkan tentang perjuangan kita terdahulu dan berbanding Parti Warisan yang jadi kerajaan sebelum ini tidak buat apa-apa.

“Memang tak ada kemajuan, saya paling tua di kawasan Balung dan saya dari muda hingga hari ini menyaksikan perubahan yang dilakukan oleh BN tetapi sejak parti Warisan ambil alih tak ada apa-apa perubahan.”

Tegasnya, bukan hanya rakyat di Tawau yang mengeluh tapi juga di seluruh Sabah terkesan dengan pentadbiran kerajaan Warisan.

Selari dengan hasrat untuk melihat calon BN menang, Norafizan Karim, 35, menyeru kepada pengundi untuk memberi sokongan kepada calon BN.

“Saya mewakili anak muda di DUN N67 Balung menyeru agar anak-anak muda menyokong calona BN dan undilah BN.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi agar beramai-ramai keluar dan undi calon yang telah dipilih,” katanya lagi.

DUN 67 Balung mempertaruhkan Hamild Awang sebagai calon dengan disaingi oleh enam calon lain iaitu Abdul Hamid Damang (PCS), Labosa @Ghazali Jakilan (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar (Gagasan), Cyril Aloysius (LDP), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan) dan Ariffin Kassim Ibong (PHRS).

PRN diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa Aman mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.