Wanita Sabah Terus Gerak Ke Depan, Bantu Parti Capai Kemenangan – Jainab

SEPANGGAR, 13 Sept – Wanita UMNO Sabah hari ini bertegas untuk terus bergerak dan akan sedaya upaya membantu calon-calon yang diketengahkan parti sekaligus membentuk kerajaan negeri bersama rakan-rakan gabungan yang lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.

Ketuanya Datuk Jainab Ahmad berkata apa yang penting hari ini jentera wanita akan berkerjasama dengan jentera parti pelbagai peringkat termasuklah sayap Pemuda, Puteri dan seluruhnya demi membantu parti dalam menghadapi PRN.

‘’Tahniah kepada semua calon-calon yang bertanding dan Wanita akan bekerjasama dengan seluruh jentera parti untuk memenangkan calon kita semua dan inilah peluang untuk kita semua bekerjasama dan memenangkan calon BN, PN dan rakan sekutu lain,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Jainab seterusnya berkata ‘janji terang bulan’ oleh Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu sudah pasti tidak akan lagi laku untuk dijadikan modal pada PRN kali ini.

‘’Dua tahun sudah berlalu dan ini satu peluang terbaik untuk rakyat…. Apa pun satu fasa sudah habis iaitu penamaan calon  dan kita sudah tentulah akan bergerak menerusi PDM-PDM khususnya Jalinan Rakyat yang akan bergerak dari rumah ke rumah.

‘’Kita ubah balik… banyak orang keliru dahulu Warisan dan sekutunya mengatakan ‘Sabah Ubah’ dan hari ini kita ‘Ubah Balik’… kita tidak menjanjikan apa-apa namun kita kota apa yang kita kata dan insya-Allah segala-galanya akan berjalan lancar,’’ ujarnya.

PRN Sabah menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN, dengan sebanyak 13 kerusi baharu iaitu N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.

SPR telah menetapkan pengundian awal pada 22 September dan hari mengundi biasa pada 26 September.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah kali ini.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Semalam hari penamaan calon menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi DUN. Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu 404 calon adalah lelaki manakala 43 lagi calon wanita.

Beliau berkata daripada 447 calon itu, seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, PKR (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.