Wakil Rakyat DUN Baharu Kukusan Diharap Dapat Bawa Pembangunan

TAWAU, 13 Sept – Sebut sahaja Kukusan, penduduk khususnya di Tawau pasti segera terbayangkan Kem Kukusan yang menempatkan anggota Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kukusan juga agak sinonim dengan Bukit Kukusan, Kuil Thirumurugan, lokasi penanaman sayur-sayuran Hill Top, gerai buah serta kawasan Lapangan Terbang Lama Tawau.

Kesemua lokasi berdekatan antara satu sama lain dan terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, antara 13 DUN baharu yang diwujudkan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Kukusan merupakan antara lokasi yang diberi tumpuan untuk dibangunkan kerajaan dengan yang terbaharu, Majlis Perbandaran Tawau merancang mewujudkan muzium dan rumah etnik di kawasan Lapangan Terbang Lama sebagai produk tarikan pelancongan.

DUN Kukusan, yang terletak dalam Parlimen Kalabakan dengan 12,640 jumlah pengundi, sebelum persempadanan semula berada di bawah DUN Tanjung Batu.

Penduduk Kampung Tanjung Batu Tengah, Kisah Samad, 59, yang ditemui berkata pewujudan DUN Kukusan membolehkan suara, permasalahan dan isu rakyat di kawasan itu dapat diwakili dengan lebih berkesan selain berupaya membawa pembangunan.

Beliau berkata pengundi DUN Kukusan memerlukan wakil rakyat yang cergas dan sentiasa turun padang serta berkomunikasi dengan akar umbi.

Bagi Augustina Tandiayu, 46, pengusaha tanaman sayur di Hill Top, wakil rakyat Kukusan perlu menjadi individu yang senang didekati rakyat dan memiliki visi pembangunan di kawasan DUN itu bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru di DUN Kukusan antara Chaya Sulaiman (Barisan Nasional), Rina Jainal (Parti Warisan Sabah), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.