Ilmu Membentuk Akhlak, Adab Dan Jati Diri Mahasiswa – Dr Zambry

SHAH ALAM, 5 Okt- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia atas kejayaan menganjurkan majlis ilmu yang disifatkan amat bermakna dalam membentuk pemikiran, keperibadian dan jati diri mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar medan perkongsian ilmu, malah wajar dijadikan sebahagian daripada tradisi keilmuan yang terus diperkasakan dalam institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam majlis ilmu yang menghimpunkan pelbagai pandangan dan pemikiran mampu membina kematangan intelektual serta membentuk mereka menjadi insan yang lebih baik.

“Saya menyampaikan ucapan terima kasih pertama kepada Yayasan Ilmuwan Islam yang berjaya menganjurkan program yang sangat bermakna ini iaitu program ilmu dan menjadi tradisi ilmu di universiti.

“…dan mengucapkan tahniah kepada pihak UiTM dan mahasiswa duduk bersama-sama untuk mendengar pandangan-pandangan, bukan hanya perbahasan, penyampaian-penyampaian membentuk diri menjadi manusia yang lebih baik.

“Kita tahu dalam sebuah kampus, matlamat pertama ialah menjadi “knowledge seekers” iaitu pencari ilmu. Apabila ilmu itu sampai, maknanya terus sampai ke dalam diri kita. Apabila makna sampai dalam diri kita, dia akan membentuk diri kita. Membentuk akhlak kita, membentuk adab kita. “Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi” dan inilah antara tujuan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, Ahad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Canselor UiTM Datuk Ts Dr Shahrin Sahib; Timbalan Naib Canselor Prof Dr Mohd Sazli Sahibi serta peserta-peserta seminar.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata konteks UiTM ini merupakan sebuah institusi yang sangat bermakna, yang penuh dengan sejarahnya, penuh dengan sejarah perjuangan bangsa.

“Sejak tahun 1956, Dewan Latihan RIDA dibangunkan. Kerana apa? Kerana waktu itu bangsa dan umat Melayu khususnya, Bumiputera secara keseluruhannya, berada dalam kemunduran maka diwujudkan UiTM untuk menjadi pembina negara iaitu “nation builder”.

“Mari kita kembali mengembalikan semula kekuatan institusi ini. Janganlah kita menggunakannya tempat untuk melihat di sebalik kegagalan institusi-institusi bumiputera. Ada kekurangan, ada kelemahan, akan kita perbaiki. Kita tidak akan membiarkan langsung kalau sekiranya ada kelemahan-kelemahan itu, semata-mata kononnya kita nak menutup kelemahan itu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi akan terus berpegang kepada komitmen untuk melaksanakan yang terbaik dalam usaha mengembalikan kekuatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO