Siapa Ketua Menteri Tidak Perlu Dipanjangkan…. Hanya Salah Tafsir – Shahril

SEPANGGAR, 13 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan isu calon Ketua Menteri Sabah yang menimbulkan polemik tidak perlu dipanjangkan lagi setelah dilaporkan kenyataan berkenaan disalah tafsir dan telah diperbetulkan.

Menurut beliau ramai pemimpin UMNO termasuk presiden sendiri yang memberi ‘clarificatiaon’ mengatakan bahawa calon ketua menteri hanya akan dipilih di kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang andai kata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam PRN 26 September ini.

‘’Maka ADUN yang menang itu yang sudah tentu kita harapkan ramainya datang daripada BN itulah yang akan menentukan siapa Ketua Menteri. Kemudian saya dan beberapa pemimpin lain memberikan kenyataan sama bahawa apa yang telah dipersetujui selama ini begitu… maknanya ketua menteri ini kita fikir selepas menang insya-Allah.

‘’Dan dilaporkan bahawa kenyataan Perdana Menteri itu mungkin disalah tafsir. Kalau begitu kita kira isu ini selesailah dan tidak perlu dipanjangkan cuma kalau tak diperbetulkan tadi kami sebagai pemimpin UMNO kena tegas dan lantang menyatakan bahawa demi maruah kawan-kawan kami daripada Sabah perkara ini tidak dipersetujui,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ramah mesra bersama pengundi dan jentera parti di PDM Likas Darat, DUN Darau.

Shahril seterusnya mengucapkan terima kasih dengan penjelasan yang diberikan bahawa kenyataan berkenaan bukan kenyataan sebenar Perdana Menteri.

‘’Saya berterima kasih apabila dijelaskan bahawa itu bukan kenyataan sebenar kenyataan PM dan mungkin beliau hanya mencadangkan itu mungkin satu opsyen yang perlu dipersetujui oleh rakan-rakan PPBM sendiri dan persetujuan itu belum tercapai sebab kita belum habis PRN. Apabila habis PRN barulah kita fikir siapa yang paling sesuai untuk memimpin Sabah….

‘’Dan biarlah perkara ini pemimpin-pemimpin BN Sabah yang menentukan dan kami dari semenanjung dan penjawat-penjawat parti daripada pusat hanya nak menekankan bahawa presiden parti dan kepimpinan utama tidak pernah bersetuju dari segi soal menamakan mana-mana calon,’’ ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.