Saya Sedia Berkhidmat… Guna ‘Tulang Empat Kerat’ Untuk DUN Karambunai – Yaakub

SEPANGGAR, 13 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Datuk Yaakub Khan sedia menyerahkan ‘tulang empat keratnya’ kepada masyarakat di kawasan terbabit dalam usaha memastikan penduduk setempat mendapat perhatian dan tumpuan sewajarnya.

Tegasnya, beliau tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi itulah yang akan menjadi resepi kelak sekiranya masyarakat terutama para pengundi memberikan kepercayaan kepada beliau serta BN dan rakan gabungan lain membentuk kerajaan negeri pada 26 September nanti.

‘’Kita akan bekerja untuk masyarakat DUN Karambunai ini dan jika saya terpilih serta diberikan kepercayaan oleh  pengundi dan BN membentuk kerajaan negeri bersama rakan-rakan gabungan lain, saya akan menawarkan tulang empat kerat saya untuk berkhidmatkepada rakyat. Saya tidak akan berjanji bulan dan bintang tetapi itulah tulang empat kerat saya akan gunakan kepada rakyat,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Sabah akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai hari mengundi.

Kata beliau lagi biarpun pertandingan enam penjuru di DUN Karambunai, namun tentunya parti masing-masing mempunyai hala tuju dan BN di Karambunai akan berkempen sehabis baik sepanjang tempoh tersebut serta akan bertemu seramai mungkin pengundi.

‘’Apa yang pasti kita akan bawa isu yang berkepentingan rakyat yang mana kita sedia maklum kawasan ini adalah kawasan ‘urban’ dan ‘sub-urban’. Sudah tentulah dalam kawasan bandar ini banyak isu berkaitan dengan kemudahan asas, perkhidmatan dan ekonomi.

‘’Begitu juga kawasan ‘sub-urban’ yang mana kawasan agak jauh daripada kawasan bandar yang memerlukan banyak perhatian dari segi pembangunan infra terutamanya,’’ ujarnya.

Timbalan Pengerusi BN Sabah itu berdepan dengan lima lagi calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi DUN Karambunai.

Lima lagi calon yang akan bertanding ialah Ahmad Jais Otong (Parti Warisan), Nerudin Ludah (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Dayangku Ayesha Humaira Bt Ak Othman Shah, Marajoh Unding (LDP) dan Ibrahim Linggam (USNO).– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.