PRN Sabah: Pertembungan Kerusi ‘Norma Baharu Politik’ Untuk Menang – Bung Moktar

KINABATANGAN, 13 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutunya BN serta Parti Bersatu Sabah (PBS) di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sebagai ‘politik norma baharu’ bagi memastikan gabungan itu menang dan membentuk sebuah kerajaan negeri.

“Justeru itu, saya meminta kepada seluruh pemimpin BN supaya kita memasuki norma baharu ini.

“Kita tidak boleh lawan arus… sebab itu, kalau dulu kita kata kita bertanding atas dasar kuota tetapi kali ini, kita bertanding kerana mahu menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi Bukit Garam di sini hari ini.

Bung Moktar, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag, turut menyifatkan kaedah baharu itu sebagai ‘cara orang mahu menang.’

Beliau mengakui terdapat rakan sekutu yang tidak senang hati dengan keputusan itu dan masing-masing tidak mahu bertembung merebut kerusi yang sama.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata memandangkan hampir kesemua parti merasakan mendapat sokongan padu daripada akar umbi, pertembungan itu tidak dapat dielak dalam usaha memastikan kemenangan tidak berpihak kepada Warisan Plus.

Kerusi yang menyaksikan pertembungan itu ialah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru.

Kebanyakan kawasan pilihan raya itu terletak di pedalaman, tengah serta bahagian utara Sabah dengan sebilangan besar mempunyai majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut.

Semalam, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh menyifatkan pertembungan itu sebagai ‘pertembungan mesra’ dan akan memperkukuh kedudukan PN serta rakan sekutunya di Sabah.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.