PRN Sabah Peluang Rakyat Tolak Kerajaan Temberang, Pilih BN – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 13 Sept. – Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa pentingnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini ialah untuk rakyat di negeri berkenaan menolak kerajaan yang penuh temberang selama ini.

Katanya, bukti amat nyata apabila pertumbuhan ekonomi negeri Sabah turun ke satu takat yang sangat teruk dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH)/Warisan sebelum dari wujudnya wabak pandemik COVID-19 lagi.

“Kata mereka cemerlang sedangkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah turun sehingga 0.5 peratus. Itu bukan cemerlang tapi temberang. Kalau nak kata kerana COVID-19 tapi masalahnya sebelum COVID-19 pun pertumbuhan yang dari 8 peratus jatuh kepada 1.5 peratus. Inilah masanya tolak kerajaan yang penuh dengan penipuan dan berikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berkongsi pengalamannya yang mengambil laluan darat dari Sandakan ke Kota Kinabalu dengan tempoh masa yang panjang iaitu sehingga tujuh jam dalam kenderaan.

“Kalau tak kerana kegagalan Dap-PH/Warisan yang menghentikan projek untuk rakyat, tentunya hari ini rakyat Sabah sudah boleh menikmati lebuhraya Pan Borneo tapi nak buat macam mana…,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ‘Segmen PRN Sabah – Kita-Kita Saja Bah’ yang diadakan secara langsung menerusi laman rasmi facebook UMNO-Online, malam tadi.

Menyentuh berkaitan pengagihan kerusi dan pelbagai kenyataan kononnya tidak ada persefahaman antara BN dan Bersatu, beliau menafikannya.

“Berbalah kita kalah, sebab itu kita tak ada sebarang pertembungan antara BN dan Bersatu kerana kita tidak mahu berbalah dan kalah.

“Memang pada awalnya proses pembahagian kerusi ini amat sukar tapi dengan adanya kebijaksanaan dan persefahaman dalam kepimpinan BN/UMNO dan pemimpin-pemimpin di Sabah sendiri maka semuanya dapat diselesaikan dan hari penamaan calon kita lancar,” katanya.

Beliau turut menolak slogan dan kata-kata bersifat kenegerian dan menganggap ia tidak sewajarnya berlaku.
“Isteri Shafie (Apdal) orang mana… orang Semenanjung. Jadi tak betul apa yang di kata (Sabah untuk Sabah).

“Kita dah lama dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai integrasi yang baik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak maka kita jangan musnahkan apa yang telah kita bina.

“Yang penting jangan bagi walaupun seinci tanah ini kepada orang yang ingin dakwa Negeri Sabah. Saya amat panas tuntutan Negeri Sabah ini dibuat oleh Filipina. Jangan berikan satu inci pun tanah Sabah ini kepada orang yang membuat tuntutan kerana kita satu, Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah satu,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati jentera BN untuk meningkatkan gerak kerja bagi menemui pengundi.

“Nasihat saya kepada jentera kita hendaklah mantapkan keupayaan, pergilah menemui seberapa ramai pengundi, pemimpin jumpa pengundi dan calon jumpa pengundi, insya-Allah kita akan menang,” katanya lagi.

Sesi program yang berlangsung selama satu jam ini juga diselang selikan dengan pantun sebagaimana kebolehannya berpantun secara spontan. Antaranya:

Mesti tabah hadapi cabaran,
Baru boleh jadi Terkenal;
Rakyat Sabah mahukan perubahan,
Ayuh pilih Barisan Nasional.

Jika berkawan jangan berbalah,
Hidup muafakat setiap hari;
Kita tawan seluruh Sabah,
Demi rakyat bangunkan negeri.

Segmen tersebut bersiaran sempena PRN Sabah yang bermula dengan proses penamaan calon.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini.

Peratusan pengundi PRN Sabah kali ini dijangka boleh mencecah kira-kira 75 peratus dan keputusan pengiraan undi dijangka boleh diselesaikan sebelum pukul 12 malam 26 September depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.