PRN Sabah: Jentera BN Berjalan Baik, Temui Seramai Mungkin Pengundi – Mohamad

SIPITANG, 13 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jentera parti setakat ini berjalan dengan baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang melalui fasa berkempen yang bermula semalam selepas proses penamaan calon yang berlangsung di seluruh Sabah.

Menurut beliau jelas sekali organisasi parti khususnya UMNO adalah amat baik selepas tempoh berkempen dibenarkan selepas proses penamaan calon ianya digerakkan secara beransur-ansur dan Alhamdulillah ianya berjalan lancar.

‘’Alhamdulillah proses penamaan calon berlangsung dengan baik semalam dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka memecahkan tempat pusat pencalonan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.

‘’Mulai daripada semalam kita telah memulakan kempen rata-rata saya tengok di bawah khususnya jentera BN UMNO amat baik sekali dan mereka bersemangat untuk meyakinkan pengundi dan berjumpa seramai mungkin pengundi walaupun masa mereka amat terhad dan tidak ada persediaan kerana PRN ini secara tiba-tiba tetapi banyak bahagian berjalan dengan baik dan pagi tadi saya di Sipitang, kemudiannya Beaufort dan Kimanis serta  Papar.

‘’Jelas sekali organisasi UMNO adalah amat baik dan mantap cuma organisasi ini mahu digerakkan sahaja dan pergerakan ini dilakukan secara beransur-ansur dan saya yakin bahawa jentera kita akan berjalan dan berkempen dengan teratur. Saya harap supaya masa berkempen ini tidak adalah isu-isu yang boleh menyebabkan proses berkempen kita terganggu,’’ katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengingatkan agar jentera parti berkempen secara baik dan pada masa yang sama memastikan masyakat setempat mendapat maklumat yang sebenarnya.

‘’Kita berkempen dengan cara baik dan pastikan supaya orang ramai dapat maklumat yang jelas disampaikan dan akan berjumpa seramai mungkin pengundi. Begitu juga calon-calon saya nasihatkan supaya pergilah merayau dan pergilah berjumpa seramai mungkin pengundi di kawasan masing-masing,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.