Kerajaan Persekutuan Komited Atasi Masalah Bekalan Eletrik Di Sabah – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kualiti dan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dengan memastikan penjanaan elektrik yang mencukupi serta melaksanakan pengukuhan sistem penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah.

Jelas beliau, sejak tahun 2001, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM26.4 bilion bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di negeri Sabah.

“Hasil daripada itu, tempoh gangguan bekalan elektrik yang dialami oleh pengguna telah mengalami penurunan yang ketara iaitu sebanyak 63 peratus dari tahun 2012 hingga 2019. Peruntukan ini termasuklah peruntukan sebanyak RM2.3 bilion dalam bentuk geran yang disalurkan mulai tahun 2015 bagi pelaksanaan sejumlah 57 projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Pelaksanaan projek-projek ini akan diteruskan sebagai projek sambungan di bawah RMK-12 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2022.

“Projek-projek ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) yang telah ditubuhkan secara khusus di bawah Kementerian bagi menyokong projek-projek yang telah dilaksanakan oleh SESB sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan daya harap bekalan elektrik Sabah,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Kerajaan Persekutuan terus komited dalam menyerahkan kuasa pembekalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah malah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan-perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menggerakkan usaha-usaha penyerahan kuasa pembekalan elektrik dan SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Kementerian juga telah meneliti pakej pengambil alihan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah selepas penubuhan kerajaan negeri yang baharu kelak.

“Saya akan memastikan bahawa proses penyerahan ini akan dilaksanakan dalam keadaan teratur dengan meletakkan kebajikan rakyat Sabah sebagai keutamaan,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.