Yaakub Khan Berdepan Enam Penjuru Di DUN Karambunai

SEPANGGAR, 12 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yaakub Khan berdepan dengan lima lagi calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

Lima lagi calon yang akan bertanding ialah Ahmad Jais Otong (Parti Warisan), Nerudin Ludah (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Dayangku Ayesha Humaira Bt Ak Othman Shah, Marajoh Unding (LDP) dan Ibrahim Linggam (USNO).

Senarai mereka yang bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN berkenaan, Thomas Logijin.

Datuk Yaakub Khan menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.12 pagi di pusat penamaan calon yang berlangsung di Dewan Refflesia Politeknik Kota Kinabalu.

PRN Sabah menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN, dengan sebanyak 13 kerusi baharu iaitu N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.

SPR telah menetapkan pengundian awal pada 22 September dan hari mengundi biasa pada 26 September.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah kali ini.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.