PRN Sabah: Proses Penamaan Calon Bermula

KOTA KINABALU, 12 Sept – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula pada 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu, yang antara lain terdiri daripada dewan komuniti dan sekolah, bagi memastikan kelancaran proses berkenaan di sebalik prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19.

PRN Sabah bakal menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding dengan 13 kerusi baharu hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kerusi tersebut ialah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

SPR menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 Sept.

Sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya mengejut itu.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.