PRN Sabah: Jentera Diseru Gempur Pihak Lawan Pastikan Kemenangan BN


TAWAU, 12 Sept – Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Hamild @ Hamid Awang mengajak anggota jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk menggempur pihak lawan dan bersama pengundi bagi memastikan kemenangan pada 26 Sept kelak.

Katanya, dalam menghadapi PRN kali ini dengan enam calon lain tentunya agak mencabar.

“Alhamdulillah sudah selesai penamaan calon dan ada tujuh penjuru. Pada pendapat saya bertanding kali ini memang betul-betul ramai dan agak mencabar sedikit, apatah lagi COVID-19 di Tawau ini agak serius jadi saya minta semua penyokong BN dan jentera kita agar berhati-hati dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Untuk menghadapi pihak lawan yang enam orang lagi, saya minta kepada jentera kita agar sentiasa bersiap sedia dan marilah kita gempur mereka untuk memastikan kemenangan BN di kawasan DUN Balung ini,” katanya kepada UMNO Online selepas selesai penamaan calon di Sek Men Keb Kinabutan II.

Dalam masa yang sama, beliau berpesan agar jentera BN tidak mengambil ringan calon-calon yang bertanding kerana tentunya mereka mempunyai penyokong.

“Mereka ada penyokong dan kita juga ada penyokong, tapi apa yang penting kita buktikan bahawa kita mempunyai sokongan yang lebih dari mereka ini. Kita yakin dan percaya BN di DUN Balung ini akan mendapat kejayaan pada 26hb nanti, insya-Allah.

“Jadi terima kasih sekali lagi kepada penyokong-penyokong kita yang hadir hari ini dan pencalonan diterima oleh pihak SPR. Saya berpesan kepada semua penyokong-penyokong BN untuk bekerja keras, bersatu, berpadu demi untuk BN dan harap DUN Balung ini dapat menyumbang kepada BN untuk membentuk kerajaan pada 26 September ini,” katanya lagi.

Selain beliau, enam calon lain ialah Abdul Hamid Damang (PCS), Labosa @Ghazali Jakilan (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar (Gagasan), Cyril Aloysius (LDP), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan) dan Ariffin Kassim Ibong (PHRS).

PRN diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.