Laut China Selatan Harus Kekal Aman Dan Stabil – Hishammuddin

PUTRAJAYA, 12 Sept – Laut China Selatan harus kekal sebagai kawasan yang aman, stabil dan laluan perdagangan, serta tidak dijadikan kawasan perbalahan dalam kalangan negara-negara ASEAN yang terbabit dalam konflik, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya pendirian Malaysia berhubung Laut China Selatan jelas iaitu sebarang pertelingkahan wilayah dan maritim mesti diselesaikan oleh pihak berkenaan secara aman menurut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Kami juga mengharapkan rundingan mengenai Tatakelakuan Pihak-pihak di Laut China Selatan (COC) bersambung semula,” katanya dalam ucapan pada Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-27 yang berlangsung secara maya, di sini hari ini.

Hishammuddin turut menyeru semua pihak memastikan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, dan katanya sekalipun ada perbezaan pendekatan, semua yang berkenaan harus mengelak tindakan-tindakan bersifat provokatif, khususnya pada ketika kerajaan-kerajaan sedang menumpukan usaha memerangi wabak COVID-19.

Katanya Laut China Selatan antara lima isu yang harus ditangani di peringkat serantau bagi mengekal dan menjamin keamanan serta kestabilan rantau, selain krisis pelarian dari Rakhine di Myanmar, isu keganasan dan ekstremisme, pelucutan senjata serta pengawalan dan penggunaan teknologi nuklear secara aman, termasuk perkembangan di Semenanjung Korea.

Mengenai isu Rakhine, Hishammuddin berkata Malaysia terus menerima kesan daripada kedatangan pelarian akibat krisis yang berpanjangan dan tiada penghujung itu.

“Malangnya, kami sudah tidak boleh menerima lebih ramai pelarian Rohingya kerana kami kehabisan sumber dan juga kemampuan akibat COVID-19. Namun, ada pihak-pihak yang mahu Malaysia melakukan lebih banyak lagi bagi menampung kehadiran pelarian, selain turut ditekan oleh kumpulan-kumpulan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mengulangi akan keperluan beban dan tanggungjawab itu dikongsi secara sama rata dan menggesa negara-negara yang menandatangani Konvensyen 1951 agar melaksanakan tanggungjawab serta komited terhadap tuntutan undang-undang antarabangsa untuk menerima lebih ramai pelarian bagi tujuan penempatan semula.

“Malaysia menyokong penuh proses repatriasi yang dilakukan secara sukarela, selamat dan bermaruah bagi individu-individu dari Rakhine dan merayu Myanmar serta Bangladesh agar mencari penyelesaian yang mampan berhubung isu ini.

“Jika tidak ditangani segera, komuniti Rohingya akan terus terdedah kepada eksploitasi dan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan kumpulan pengganas,” katanya.

Mengenai pembanterasan keganasan dan ekstremisme, Hishammuddin berkata walaupun kumpulan pengganas secara relatifnya “senyap” semasa COVID-19, tidak boleh disangkal yang mereka mungkin sedang menggembleng usaha untuk mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan semasa bagi mengukuhkan lagi agenda mereka.

Berhubung teknologi nuklear, beliau berkata Malaysia mengulangi akan kepentingan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebagai instrumen pelucutan dan pengawalan di rantau ASEAN.

Berkaitan situasi di Semenanjung Korea pula, Hishammuddin berkata Malaysia sedang memantau rapi ketegangan yang sedang memuncak di antara Korea Utara dan Korea Selatan, khususnya selepas kejadian letupan Pejabat Perhubungan Antara Korea di Kaesong.

ARF yang dihoskan secara maya oleh Vietnam merupakan mesyuarat tahunan yang diadakan sejak 1994 dengan tujuan memupuk dialog dan rundingan membina berhubung isu-isu politik dan keselamatan yang menjadi kepentingan bersama, selain menyumbang kepada usaha membentuk keyakinan dan diplomasi pencegahan di rantau Asia Pasifik.

Kesemua 10 negara anggota ASEAN (Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam) dan rakan dialog ASEAN iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat hadir.

Turut serta pada mesyuarat itu ialah Bangladesh, Korea Selatan, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Timor-Leste dan Papua New Guinea. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.