‘Kita Ubah Balik’ Semarak Di Sepanggar

SEPANGGAR, 12 Sept – Lebih 100 penyokong Barisan Nasional (BN) berkumpul dan mengiringi calon BN, Datuk Yaakub Khan yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai serta Datuk Jumat Idris di DUN Darau bersama dengan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) tertakluk kepada SOP yang ditetapkan, masing-masing seawal 7.30 pagi telah berkumpul di pekarangan Pejabat UMNO Sepanggar.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan pimpinan setempat lain bersama jentera parti pelbagai peringkat termasuklah Pemuda serta Puteri UMNO dan pendokong yang lain turut bersama-sama bagi menyatakan sokongan terhadap BN pada PRN ini.

Pusat penamaan calon bagi DUN Karambunai diadakan di Dewan Reflesia Politeknik Kota Kinabalu manakala untuk Darau berlangsung di Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu Kingfisher, Kota Kinabalu.

Tepat pukul 8.30 pagi selesai bacaan doa, calon dan pencadang serta penyokong bergerak ke pusat penamaan calon.

PRN Sabah menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN, dengan sebanyak 13 kerusi baharu iaitu N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.

SPR telah menetapkan pengundian awal pada 22 September dan hari mengundi biasa pada 26 September.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah kali ini.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.