Ketua Menteri Akan Ditentukan ADUN Dan Rakan Kongsi BN Sabah Sepenuhnya – Zahid

KINABATANGAN, 12 Sept – Barisan Nasional (BN) memutuskan bahawa calon Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih dan ditentukan oleh barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diumumkan pada 26 September nanti.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inilah kuasa mutlak atas nama autonomi yang telah BN/UMNO pusat berikan kepada BN/UMNO Sabah.

“Calon yang dipilih dalam PRN ini adalah pilihan sepenuhnya seratus peratus oleh Pengerusi BN dan Ketua UMNO Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin. Begitu juga untuk calon Ketua Menteri, kita akan berikan kuasa penuh kepada BN/UMNO Sabah untuk tentukan Ketua Menteri, ia akan dipilih sepenuhnya oleh ADUN dan rakan kongsi politik.

“Biarpun ada orang lain menyebut sesesorang tokoh akan diberi jawatan Ketua Menteri tapi pendirian kita ialah Ketua Menteri hanya dipilih oleh BN Sabah dan ia akan dipilih apabila cukup kerusi untuk bentuk kerajaan negeri. Calon itu akan dipilih oleh ADUN yang menang. Ini pendirian BN Sabah,” tegas beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap di ‘Command Center’ DUN Lumag selepas selesai proses penamaan calon DUN berkenaan.

Tambah Ahmad Zahid, pendirian ini adalah satu pendirian luar kotak dan melambangkan norma baru politik di Sabah.

“Jadi, kita kena pastikan calon BN menang paling ramai di Sabah agar kita boleh pilih siapa calon Ketua Menteri.

“Kita juga tahu, kita mesti mencari seorang pemimpin baru, benar-benar berjiwa rakyat dan tahu keutamaan harus diberikan kepada rakyat Sabah.

“… kerana dua tahun rakyat seolah-olah tidak dipeduli oleh kerajaan yang ada… maka pemimpin yang kita cari mestilah yang boleh memperjuangkan nasib rakyat Sabah semula,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.