Calon KM Sabah… Diputuskan Oleh ADUN Yang Menang – Annuar

KOTA KINABALU, 12 Sept. – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan tajuk berita ‘Hajiji calon KM Sabah – Muhyiddin’ tidak mengambarkan apa yang sebenarnya ditutur oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya baru bercakap dengan editor yang melaporkan “Hajiji calon KM Sabah-Muhyidin” Setelah disemak, ia jelas tidak menggambarkan apa yang sebenar dituturkan oleh YAB PM,” kata Annuar melalui Facebook rasminya sebentar tadi.

Ucapan Muhyiddin adalah seperti berikut: “Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk memimpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji. Ini juga memerlukan persetujuan dari sekutu Bersatu,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Bersatu Tuaran sambil disambut sorakan dan tepukan daripada orang ramai.

Menurut Annuar, Ketua Menteri Sabah hanya akan diputuskan selepas selesai Pilihan Raya Negeri oleh ADUN-ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menang nanti, sesuai dengan undang-undang tubuh negeri Sabah.

Kenyataan Annuar senada dengan pendirian Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata BN memutuskan bahawa KM Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu. – WILAYAHKU

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.