108 Pendatang Tanpa Izin Ditangkap Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Seramai 108 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup ditangkap dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain itu, dua kenderaan berat dan sebuah bot turut dirampas dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa bagi mengawal ketat sempadan negara itu.

“Sebanyak 78 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM telah menahan 84 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk 28 orang yang gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk.

Selain itu, 22 individu didapati tidak memakai pelitup muka, 14 dikesan melakukan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dan 20 lagi didapati melakukan aktiviti di dalam pub atau kelab malam.

Bagi kuarantin wajib, beliau berkata seramai 27,101 individu telah pulang ke tanah air setakat ini yang ditempatkan di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk institut latihan wam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 69 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 16,935 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan ke atas enam tapak pembinaan di seluruh Malaysia semalam dan mendapati lima mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan manakala satu tapak pembinaan tidak beroperasi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.