PRN Sabah: UMNO Tawar Muka Baharu, Dengar Suara Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 11 Sept. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menganggap pengumuman calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan bahawa parti mendengar pandangan daripada akar umbi.

Katanya walaupun dengan calon-calon baharu yang diumumkan, namun mereka adalah ‘orang lama’ yang aktif dan berkhidmat di bahagian.

“Muka baru kerana kali pertama dicalonkan tetapi orang lama… calon muka baru tetapi adalah orang lama di bahagian, bukan orang baru yang tak pernah nampak di bahagian.

“Ini bukan muka baru dalam keadaan ‘payung terjun’ pun… tak ada. Kita tidak ada ‘payung terjun’ tapi calon yang kita ketengahkan adalah calon tempatan yang boleh menang, jadi walaupun kali pertama bertanding tapi adalah orang lama di bahagian dan sudah lama berbakti di kawasan itu,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, UMNO memilih calon yang boleh menang, yang dikenali di kawasan, yang mudah untuk kita bawa ke pelbagai tempat yang jauh terutama di kawasan pedalaman.

“Ini kerana muka bumi Sabah tidak sama dengan Semenanjung, kawasan cukup luas misalnya Kinabatangan sendiri seluas negeri Pahang. Bayangkan ada tiga DUN di Kinabatangan, maknanya negeri Sabah dibahagi tiga.

“Jadi memerlukan mereka yang mempunyai tenaga, mereka yang dikenali, mereka yang boleh menang, yang tidak pulang hanya ketika mahu bertanding tapi mereka yang boleh melaksanakan tugas-tugas.”

Tegasnya, UMNO mahu calon-calon yang boleh memberikan kemenangan kepada BN.

“Ada 32 calon UMNO dan saya telah berpesan kepada 32 calon itu agar bertemu dengan seberapa banyak pengundi. Semua calon perlu menemui seberapa ramai pengundi, siang malam subuh senja pagi petang, dalam masa 16 hari ini kita perlu bekerja menemui pengundi kerana pengundi tidak mahu melihat wakil maka perlu dikenali.

“Kalau boleh 100 peratus dari pengundi ditemui kerana kita lihat pada tujuh PRK sebelum ini, calon-calon menang dengan banyak sekali adalah melalui cara menemui pengundi,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Pontian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.