PRN Sabah: Majoriti Calon Baharu, Bukti UMNO Tidak Ketandusan Pelapis – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata majoriti calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah muka baharu.

“Ini membuktikan UMNO Sabah berani melakukan reformasi dan pembaharuan untuk mengetengahkan calon baru sebagai pemimpin.

“Hal ini juga membuktikan UMNO tidak ketandusan pemimpin dan pelapis baru bagi menyambung perjuangan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas menunjukkan UMNO ditolak golongan muda dan PRN Sabah adalah peluang untuk UMNO bangkit kembali membawa suara rakyat.

“UMNO adalah parti rakyat, bukan milik pemimpin. Rakyat akan terus menjadi teras kepada UMNO.

“Demi rakyat, UMNO akan terus berjuang dan menjadi platform utama bagi golongan muda untuk partisipasi politik.

“Ayuh orang Sabah! Undi Timbangan untuk masa depan yang lebih baik. Demi Sabah, Untuk Malaysia,” gesanya lagi.

Semalam, Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan senarai 31 calon UMNO bagi mewakili BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai hari pengundian manakala esok, hari penamaan calon. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.