PRN Sabah: Kambus Segala Sengketa Demi Kemenangan – Bung Moktar

LIBARAN, 11 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, politik masa kini adalah di luar jangka maka semua pihak harus bersatu hati dan tenaga demi mencapai kemenangan.

Jelas beliau, untuk menang segala sengketa harus dikambus rapat.

“Kita berjuang atas parti dan bukan atas nama calon. Calon boleh berubah tetapi parti tetap ada maka parti harus diutamakan.

“Kerana itu, inilah masa untuk kita bersatu hati dan bersatu tenaga untuk mencari kemenangan. Untuk menang, kena buat kerja cara mahu menang, bukan mahu menang tapi buat kerja ala kadar… kalau begini (kerja ala kadar) maknanya UMNO Sabah ‘tutup kedai’.

“Inilah masanya juga untuk kita buktikan kita sayang parti, bangsa dan agama,” ujar beliau.

Bung Moktar berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan bersama jentera di ‘command centre’ BN Parlimen Libaran, hari ini.

Bung Moktar turut mengingatkan semua jentera agar jangan ‘syok sendiri’ kerana perjalanan berkempen masih jauh.

“Kita jangan syok sendiri. Selagi belum menang kita belum kuat, bila menang baru kuat. Kena ingat, lawan kita pun berkempen juga.

“Jadi kita harus bekerja keras dan pastikan di Libaran kita menang semua kerusi DUN kerana dulu Libaran adalah kubu kuat kita. Sekarang kita tebus balik kekalahan kita,” ujar beliau.

Untuk rekod, sehingga kini BN bakal bertanding di 41 kerusi; UMNO 32 kerusi, MCA empat dan PBRS lima. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.