PRN Sabah: Calon Wanita Muda Anggap Satu Pengiktirafan Pimpinan Parti

KOTA KINABALU, 11 Sept – Calon wanita muda yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Hazulizah Md Dani bukan sahaja berazam untuk terus melaksanakan yang terbaik bagi masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, malah ingin membuktikan bahawa keputusan yang diambil pucuk pimpinan amat bertepatan.

Ini kerana katanya bagi kalangan Puteri UMNO, calon terakhir yang mendapat tempat adalah Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan keputusan pucuk pimpinan hari ini adalah satu perkara yang amat menggembiran dan ianya satu pengiktirafakan kepada wanita muda.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan atas keputusan meletakkan wanita muda sebagai salah seorang calon pada PRN Sabah dan dulunya yang terakhir adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan saya cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab ini dan memastikan kemenangan BN,” katanya.

Beliau merupakan antara 31 calon yang diumumkan sebagai calon UMNO untuk bertanding atas tiket BN pada PRN Sabah 26 September nanti.

Tambah beliau pola penduduk Batu Sapi yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan juga pelbagai komposisi pekerjaan akan diberi tumpuan selain kebajikan penduduk setempat setelah kerajaan yang ada sebelum ini amat mengecewakan.

“Kawasan Batu Sapi merupakan kawasan perindustrian dan nelayan. Manakala penduduknya adalah bercampur ada yang bekerja sendiri, swasta dan sebagainya. Pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) terlalu banyak pembangunan yang dibawa dan yang boleh kita nampak…tetapi baru-baru ini ianya cukup mengecewakan apabila banyak janji-janji kerajaan Warisan tidak tertunai.

“Contoh 100 hari mereka menang mereka akan pastikan kawasan setinggan ini akan diwartakan untuk menjadi satu perkampungan dan kemudian membuat pelbagai janji lain. Tetapi untuk BN, kita tidak akan memberi apa-apa janji kerana masyarakat di Batu Sapi ini sudah sedia maklum BN telah banyak memberi kemajuan di kawasan N.53 DUN Sekong ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap apa yang berlaku kepada mangsa kebakaran Kampung Gas yang sehingga kini tidak ada penempatan.

“Saya juga cukup kecewa apabila mangsa kebakaran di Kampung Gas sudah beberapa tahun mereka tinggal di Kawasan kontena dan tidak ada penempatan diberikan sedangkan kampung Gas ini diwartakan sejak 1983 lagi.

“Jadi saya yakin masyarakat Batu Sapi sudah boleh membuat penilaian kerajaan mana yang terbaik setakat ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.