Pemilihan Calon Mengikut Acuan Suara Rakyat, Boleh Menang – Norliza

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata pemilihan calon parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah yang terbaik di dalam kalangan yang terbaik.

Ujarnya, sudah tentu calon yang dipilih itu mengikut acuan pengundi Sabah dan calon boleh menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Tahniah diucapkan semua calon BN di Sabah termasuk dua wanita calon, masing-masing dari Wanita UMNO Kalabakan dan Puteri UMNO Batu Sapi bagi menghadapi PRN Sabah bermula 12 September ini.

“Saya percaya kedua~dua calon Wanita ini menjadi sumbangan besar kepada kemenangan BN sekaligus membentuk kerajaan baharu,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan senarai 31 calon UMNO termasuk dua wanita iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Chaya Sulaiman bagi DUN Kukusan dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani (DUN Sekong) untuk bertanding di PRN Sabah.

Seterusnya, Norliza juga mengharapkan agar parti menghargai pengorbanan dan perjuangan dari Wanita yang terbukti mempunyai banyak jasa kepada parti.

“Pastinya suara, kuasa undi, gerakan jentera datangnya separuh daripada wanita. Maka hargailah kekuatan Wanita ini yang tidak pernah luntur.

“Selamat berjuang,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.