Muafakat Nasional: Kekalkan Perpaduan, Kekuatan Yang Harus Dipupuk – Shahidan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – “Kalau kita bersatu padu, kita akan kuat dan akan menang Insya-Allah dengan izin Allah. Tapi kalau kita berpecah kita akan kalah… ini adalah prinsip yang akan kita pakai dalam fitrah kehidupan manusia.”

Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim yang berkata terdapat hikmah di sebalik kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu lepas di mana Allah telah membuka pintu hati orang-orang UMNO dan PAS untuk bekerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN).

“Hasil kerjasama tersebut kita telah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim.

“Semuanya ini berlaku kerana kekuatan yang telah disepadukan melalui kerjasama PAS dan UMNO serta rakan-rakan lain,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Shahidan juga melahirkan kesyukuran apabila kerjasama berkenaan tetap berterusan dan hari ini bersama pula dengan rakan-rakan lain memerintah negara.

“Orang hormat PAS dengan UMNO kerana kita bersatu padu. Orang hormat kerana kedua-dua parti ini menjurus kepada kekuatan. MN adalah kekuatan yang harus dipupuk sehingga pilihan raya yang akan datang.

“…kalau kita teruskan kekuatan ini kita akan digeruni sebab musuh takut kepada perpaduan di antara UMNO dan PAS. Ingat…musuh akan takut kepada kehebatan kesatuan dan bukan dalam bentuk perpecahan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Piagam MN telah ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 14 September tahun lalu.

Ia sebagai bentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.- UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.