Slogan Sabah Ubah Tak Bawa Apa-apa Makna… Warisan Gagal Utamakan Kebajikan

KOTA KINABALU, 10 Sept. – Ketua UMNO Bahagian Papar, Jamal Nerubi berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal sebagai kerajaan kerana tidak mengutamakan kebajikan rakyat malahan banyak kerosakan yang mereka lakukan.

Ujarnya, jika dilihat dari segi projek-projek tempatan banyak yang tidak dilaksana dan ekonomi rakyat terjejas khususnya dalam keadaan pandemik COVID-19.

“Untuk COVID-19, yang kerajaan janjikan RM300 tapi tak ada, barang bantuan pun tak sampai dan rakyat sendiri sebenarnya masih mengharapkan kerajaan sebelum ini… merindui kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan masa depan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyorot berkaitan pembinaan Empangan Kaiduan di kawasannya.

“Saya bercakap berkaitan Bahagian Papar khususnya pembinaan Empangan Kaiduan. Ketika kerajaan BN memerintah, mereka membantah pembinaan empangan ini namun sebaliknya apabila mereka memerintah mereka juga telah mengambil langkah yang sama iaitu untuk meluluskan semula pembinaan.

“Sebelum ini BN sedar bahawa pembinaan empangan ini akan mendatangkan banyak kerosakan terutamanya ekosistem dan ekonomi rakyat di kawasan ini, maka BN telah menghentikan projek ini.

“Maka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini saya mengajak rakyat supaya jangan berhenti membantah kerana usaha ini… memang sebenarnya BN yang mencadangkan tetapi setelah mengambil kira berkaitan keburukan untuk rakyat tempatan, BN hentikan tapi disambung semula oleh kerajaan Warisan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.