PRN Sabah: Pemuda UMNO Hargai Calon Muda Ditampilkan, Manfaat Jentera Demi Kemenangan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana menampilkan ramai orang-orang muda dalam senarai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Jelas beliau, dalam konteks ini, Pemuda akan memanfaatkan segala jentera yang akan memfokuskan gerak kerja seperti mana ‘template’ di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

“Kita akan mendekati pengundi- pengundi muda iaitu 40 tahun ke bawah seperti mana yang kita lakukan di Kimanis dan asaskan di Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) malah program kita pun bersifat terfokus. Ini adalah strategi yang telah kita berjaya laksanakan di Kimanis dan akan digunapakai dalam konteks PRN Sabah.

“PRN Sabah ini juga sebenarnya banyak isu-isu tempatan yang akan diperjuangkan dan kita serahkan kepada kepimpinan Pemuda Sabah terutamanya untuk menjuarai isu-isu ini… mereka ini akan kita tonjolkan sebagai jurucakap-jurucakap dan juga sebagai penceramah-penceramah utama,” katanya semasa sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah Dr Asyraf lagi, Pemuda pusat akan sentiasa membantu jentera-jentera khususnya menyelaraskan segala bentuk kempen yang akan diterajui oleh Pemuda BN Sabah.

“Perkara ini telah kita selaraskan sejak sebulan lalu. Pemuda pusat akan membantu dari segi jentera yang akan dibawa ke sana untuk menyelaraskan gerak kerja dan segala bentuk kempen yang akan diterajui oleh Pemuda BN Sabah.

“Bermula esok kita akan menggerakkan semua jentera-jentera Pemuda dari Semenanjung untuk membantu dari segi koordinasi dan juga sedikit keperluan untuk memastikan seberapa banyak pengundi muda untuk kita temui dan didekati bagi memberi penjelasan apa juga agenda, aku janji dan harapan yang kita tawarkan kepada mereka selepas manifesto BN dilancarkan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.