PH Musnahkan Pertumbuhan Ekonomi Sabah

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Pakatan Harapan (PH) telah memusnahkan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah kerana banyak projek Barisan Nasional (BN) yang akan memberi manfaat kepada rakyat telah dihentikan.

Jelas beliau, ini amat merugikan rakyat kerana projek yang dihentikan itu akan memberi impak limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Bila menang, kerajaan PH telah menghentikan banyak projek-projek besar BN dulu. Termasuk Pan Borneo Highway, Saluran Paip Gas Kimanis dan Loji Elektrik Sandakan. Ini semua projek berimpak besar dan memberi banyak pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Pan Borneo di Sabah lebih besar dari Sarawak. Dari Sipitang hingga ke Tawau. Ia adalah tulang belakang kepada sistem infrastruktur jalan raya negeri Sabah. Sewaktu pembinaan dan selepas pembinaan, lebuhraya tanpa tol ini sepatutnya menjadi asas kekuatan ekonomi negeri Sabah.

“Tulang belakang yang rosak boleh melumpuhkan seluruh tubuh badan. Sekali lumpuh, amat sukar membaik pulihnya kembali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Oleh kerana itu ulas Shabery, untuk membasmi kemiskinan kerajaan perlu meningkatkan pertumbuhan ekonominya.

“Di Sabah, pertumbuhan ekonomi pernah mencapai tahap lebih lapan peratus dalam tahun 2017, tetapi jatuh merudum kepada 1.5 peratus dalam tahun 2018 dan terus jatuh lagi kepada 0.5 peratus dalam tahun 2019. Paling teruk sejak 19 tahun lalu.

“Semua berlaku selepas kerajaan PH mengambil alih.

“Bila COVID-10 melanda, pasti keadaan lebih parah kerana sektor pelancongan hampir terencat,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.