UMNOSiswa Mohon Kerajaan Kekal Fokus Tingkatkan Capaian Internet, Henti Polemikkan Isu Veveonah

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) berpandangan bahawa Malaysia sepatutnya lebih fokus dalam menstabilkan capaian internet di seluruh negara terlebih dahulu berbanding fokus sepenuhnya dalam membangunkan rangkaian 5G.

UMNOSiswa dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini adalah kerana ada sesetengah kawasan yang masih belum dapat menikmati capaian internet yang stabil.

“Selain itu, UMNOSiswa juga mahu kerajaan mengkaji semula harga bagi langganan internet yang ditawarkan oleh pengendali-pengendali perkhidmatan komunikasi di negara ini. Hal ini kerana masih ada pengendali yang mengenakan harga yang mahal bagi langganan internet yang tidak setimpal dengan harga.

“Hal ini kerana, dengan kelas secara atas talian yang akan dijalankan sehingga awal tahun hadapan, ianya sudah tentu akan membebankan mahasiswa, terutamanya dalam melanggan internet. Masalah capaian internet yang tidak stabil juga akan mengganggu fokus pelajar dalam pembelajaran secara atas talian,” kata UMNOSiswa lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya kedua-dua isu itu dapat ditangani, UMNOSiswa percaya bahawa tiada lagi pelajar yang akan mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

“Kerajaan juga boleh meneruskan hasrat untuk membangunkan rangkaian 5G di seluruh negara setelah kedua-dua masalah ini diselesaikan.

“UMNOSiswa berharap agar kerajaan dapat memperbaiki sistem penyampaian maklumat mereka. Hal ini bagi memastikan agar segala maklumat yang disampaikan adalah tepat dan benar,” ujarnya lagi.

Jelas UMNOSiswa, mereka juga menyokong tindakan yang telah dilakukan oleh Veveonah kerana ianya adalah satu cara untuk menunjukkan kepada kerajaan tentang realiti yang terpaksa dihadapi oleh para mahasiswa ketika pandemik COVID-19 ini melanda.

“Oleh itu, mengikut pepatah ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ pihak kerajaan perlu terus berusaha memberikan yang terbaikkepada rakyat terutamanya golongan mahasiswa,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan UMNOSiswa melahirkan perasaan kecewa dengan Timbalan Menteri yang terus mempertahankan tindakan mereka berhubung isu yang membabitkan Veveonah di mana kelihatan menyebabkan beliau menjadi mangsa buli siber oleh para netizen kerana dituduh menipu.

“Hal ini kerana, sudah jelas bahawa beliau tidak menipu apabila mengatakan bahawa beliau sedang menghadapi peperiksaan akhir. Pihak Timbalan Naib Canselor UMS dan Pengarah Pusat Asasi Sains UMS juga telah mengesahkan bahawa beliau menduduki peperiksaan akhir pada waktu itu.

“Sungguhpun Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin telah memohon maaf di atas kekhilafan beliau dalam menyampaikan maklumat, namun beliau seharusnya lebih peka dalam menyampaikan maklumat sebegini. Tambahan pula, ianya perlu bersesuaian dengan tagline “Tidak Pasti Jangan Kongsi” yang telah dibawa oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sejak sekian lama. Maka beliau seharusnya menjadi contoh yang baik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan benar.

“Tindakan Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri yang terus mempertahankan hujah beliau bahawa Veveonah menipu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali. Ianya seolah-olah menunjukkan bahawa beliau tidak melihat kepada realiti bahawa masalah capaian internet memang berlaku,” tegasnya.

Justeru, tegas UMNOSiswa, kerajaan seharusnya kekal fokus dalam meningkatkan capaian internet di kawasan-kawasan pedalaman dan juga di seluruh negara yang bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi juga di kawasan lain di seluruh negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.