PRN Sabah: Slogan ‘Sabah Untuk Sabah’ Hanya Sedap Didengar…

KOTA KINABALU, 9 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, slogan ‘Sabah untuk Sabah’ hanyalah satu halwa telinga yang sedap didengar namun harus diingat, Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan dan sekiranya Sabah tidak ada kerjasama kuat dengan Persekutuan maka sudah pasti negeri terbabit tidak akan mampu menangani segala cabaran dalam mentadbir negeri.

Maka jelas beliau, rakyat Sabah harus menggunakan peluang kedua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini untuk memilih dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Saya percaya rakyat Sabah sedang melalui satu keadaan yang sangat penting untuk membantu menentu dan meleraikan beberapa isu juga cabaran yang sedang mereka hadapi. Antara perkara yang pengundi dan penduduk Sabah lalui pertamanya ialah betapa mereka berpeluang untuk melahirkan satu kerajaan yang kuat dan stabil.

“Tambahan pula kita sedang berhadapan dengan banyak cabaran, cabaran dari segi wabak penyakit COVID-19 dan cabaran yang menyebabkan banyak keadaan kehidupan berubah maka kita perlu satu kerajaan yang kuat.

“Jadi, PRN ini adalah peluang untuk rakyat Sabah lahirkan sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan mampu untuk mengurus negeri ini dan pada masa yang sama cabaran dan masalah yang ada. Ini yang sepatutnya menjadi perkara utama yang perlu difikirkan oleh penduduk Sabah,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Khaled, kerana itulah rakyat Sabah jangan terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan kononnya Sabah hanya untuk Sabah.

“Sabah juga harus ingat bahawa orang Sabah bukan semua ada di Sabah, ada juga ditempat lain… di Semenanjung. Kalau Sabah kata Sabah hanya untuk Sabah dan orang Johor pun cakap sedemikian, bagaimana orang Sabah yang cuba mencari rezeki di sana?

“Atas sebab itu, inilah peluang terbaik untuk Sabah. Kita sudah melihat dua tahun ini macam-macam yang terjadi, kerajaan tidak kuat, lompat-melompat dan sebagainya. Jadi, saya percaya rakyat sudah bosan dengan ini semua maka buatlah pilihan yang tepat, pilihlah parti yang benar-benar membawa kestabilan, mengurus ekonomi, banyak pengalaman dan boleh menghadapi cabaran dan sudah tentu tidak boleh lari dari hakikat bahawa BN mampu untuk lakukan itu semua.

“Maka, sokonglah BN,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.