Pemuda UMNO Bantah Cadangan Kenakan Caj Pembelian Atas Talian

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO membantah cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenakan caj pembelian atas talian, tegas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam satu ciapan di Twitter, Dr Asyraf berkata cadangan caj bagi urusniaga atas talian adalah amat tidak wajar di kala rakyat dihimpit kepayahan hidup akibat dampak COVID-19 yang masih belum berakhir.


“Sepatutnya kerajaan fokus menggalakkan urusniaga atas talian dengan beri insentif bukan kenakan caj,” gesanya.

Semalam, KKMM bercadang mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkara yang masih dalam perancangan itu sebagai langkah untuk menambah kewangan atau mengumpul dana khas bagi membantu golongan B40 termasuk menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar.

Ujarnya juga, pembelian di bawah RM200 tidak akan dikenakan caj berkenaan manakala tambahan setiap 20 sen perlu dibayar pengguna bagi gandaan RM1,000 berikutnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.