Mainan Sentimen Kenegerian Untuk Lindungi Kelemahan Pentadbiran Parti Warisan

KOTA KINABALU, 9 Sept. – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Dr Fadilah Sarbi menegaskan bahawa sentimen kenegerian seperti ‘Sabah For Sabahan’ sengaja diwujudkan bagi melindungi pelbagai kelemahan dalam pentadbiran Parti Warisan sebelum ini.

Katanya, mainan isu kenegerian ini bersifat rigid sedangkan sebagai sebuah negeri dalam negara sewajarnya semangat atas satu Malaysia dipertahankan.

“Isu-isu yang dikeluarkan oleh parti-parti lawan terutamanya Parti Warisan adalah sebenarnya untuk ‘back-up’ diri mereka sendiri dan melindungi kelemahan-kelemahan mereka.

“Mainan ‘Sabah for Sabahan’ bagi saya adalah bersifat rigid sedangkan kita adalah satu Malaysia dan di Sabah ini sendiri misalnya kita memerlukan rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan dari Sarawak untuk membina Malaysia ke arah kecemerlangan.

“Sentimen ‘Sabah for Sabahan’ ini tidak salah jika digunakan untuk meningkatkan jati diri kita rakyat Sabah sahaja tetapi untuk dijadikan modal pilihan raya adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan mainan,” katanya kepada UMNO-Online, hari ini.

Berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung 26 Sept nanti, beliau optimis bahawa BN dan rakan-rakan kompenan akan memenanginya.

“Sebab itulah Puteri UMNO telah menyahut kerja-kerja sejak dari awal selain menyediakan jentera-jentera parti dan juga menjalankan usaha untuk menarik minat golongan muda yang dilaksanakan seluruh 25 Bahagian/Parlimen yang ada untuk bersama BN dan mengundi parti ini.”

Dalam hal yang sama, beliau melahirkan harapan kepada pengundi khususnya pengundi muda yang melibatkan hampir menyamai 47 ke 48 peratus daripada jumlah pengundi untuk memilih calon yang tepat.

“Undi dengan tepat dan pilih BN untuk membina satu kerajaan yang lebih baik dari kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendakwa mendapat perkenan daripada Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 26 September sebagai tarikh membuang undi dengan 12 September penamaan calon. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.