‘Track Record’ BN Terajui Sabah Yang Terbaik… Rakyat Dibela, Diberi Perhatian – Zahid

 

KOTA KINABALU, 8 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ‘track record’ (rekod perkhidmatan) parti itu dalam menerajui kerajaan di Sabah sebelum ini telah membuktikan bahawa ianya adalah yang terbaik.

Menurut beliau hakikat berkenaan menyebabkan rakyat Sabah rindukan parti itu semula untuk menerajui negeri berkenaan kerana pelbagai pembangunan dan kebajikan untuk rakyat telah dilaksanakan.

“Rakyat Sabah amat rindukan BN untuk menjadi kerajaan semula. Kita tahu ‘track record’ BN selama ini di Sabah terbaik.

“Banyak pembangunan telah dibawa tetapi disebabkan oleh fitnah dan tohmah maka kita lihat rakyat terpengaruh… tetapi apabila kerajaan baru memerintah apa yang dibuat menyebabkan rakyat menyesal dan mahu BN kembali memerintah.

“Dalam tempoh dua tahun ini terlalu banyak permasalahan… atas nama rakyat Sabah kita rasa negeri ini berpotensi dan negeri yang boleh dimajukan dan ianya harus dikembalikan agar pembangunan ekonomi dan sebagainya lagi dapat naik semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya menambah Sabah berpotensi dimajukan dan Dewan Tertinggi BN membuat keputusan anak Sabah harus diberi peluang mentadbir negeri setelah kerajaan negeri sekarang tidak memberi tumpuan kepada pembangunan untuk rakyat.

“Untuk itu, kuasa autonomi diberikan kepada UMNO Sabah untuk memilih calon-calon PRN Sabah dan juga memilih Ketua Menteri setelah BN membentuk kerajaan negeri yang baharu. Ini adalah komitmen kita,” katanya.

Kata beliau lagi beberapa tawaran baharu juga akan dikemukakan menerusi manifesto BN dalam usaha memastikan kepentingan rakyat Sabah terus dibela dan mendapat perhatian sewajarnya.

“Peluang kepada usahawan, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta skim untuk mereka yang kehilangan pekerjaan antara yang akan diberi tumpuan dan ini antara yang terkandung di dalam tawaran baru kita, insya-Allah,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.