Semangat Jitu, Komitmen Tinggi Jentera Lengkapkan BN Sabah Hadapi PRN – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 8 Sept – Semangat permuafakatan yang kukuh dan komitmen yang tidak berbelah-bahagi daripada pelbagai peringkat jentera parti akan menghasilkan satu keputusan yang cukup bermakna kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sekaligus akan memberi impak kepada rakyat negeri berkenaan.

Justeru Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah hari ini mengharapkan agar jentera parti terus istiqamah dan meneruskan semangat yang tinggi itu sehingga ke tarikh pengundian nanti.

Sambil diiringi laungan ‘Radu Tatap Radu’ ‘Radu Sampai Rata’, Ahmad Zahid yang cukup bersemangat di dalam ucapannya turut menyatakan bahawa semangat biru sudah pasti akan membanjiri seluruh Sabah dengan harapan ianya akan dibantu oleh rakan-rakan yang lain.

Tambah beliau dengan kesepakatan daripada seluruh rakan-rakan parti komponen BN Sabah, sudah pastilah parti itu cukup bersedia untuk berdepan dengan PRN Sabah.

“Semangat Biru BN akan membanjiri Sabah pada PRN nanti. Semangat kukuh pejuang BN yang bermuafakat pasti membentuk jentera yang kuat.

“Kita kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat biru dan berikrar memperkukuhkan jentera di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM)… elakkan perbalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah di sini, hari ini. Turut hadir rakan-rakan parti komponen yang lain.

Kata Ahmad Zahid lagi, semua pemimpin dari seluruh negara akan membantu calon BN dan apa yang penting masing-masing perlu bekerjasama untuk memastikan kemenangan parti.

“Jentera yang telah tersusun diharapkan terus berjalan sehingga 26 Sept ini. Biarpun asas kita seboleh mungkin mahu dua penjuru… namun jika ada ‘third force’ yang mahu memeriahkan PRN kita serahkan kepada pengundi…yang penting semangat biru akan membanjiri seluruh Sabah.

“Dengan semangat yang ada, jentera tersusun rapi, kita kembali kawasan masing masing perkukuhkan jentera di semua peringkat insya-Allah pimpinan parti akan turun membantu demi untuk perjuangan rakyat Sabah,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.