PRN Sabah: Masa Untuk Tebus Maruah, Bela Nasib Rakyat – Bung Moktar

 

KOTA KINABALU, 8 Sept – Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah platform terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menebus maruah yang diinjak selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ujar beliau, PRN ini juga adalah masa untuk menentukan masa depan Sabah menjadi lebih baik selepas rakyat dikecewakan dengan janji palsu Warisan/Pakatan Harapan (PH).

“Sebagai sebuah parti, sebagai sebuah jentera dalam organisasi maka kita akan terjemahkan semangat jentera dan pejuang BN dalam PRN Sabah.

“Kita sudah berjuang sekian lama, selepas kalah kita tidak berhenti bekerja dan berjuang. Dalam keadaan kalah, dalam keadaan terhimpit, dihina dan ditindas, hari ini kita bangkit, kita jadikan PRN Sabah sebagai penebus maruah kita.

“Hari ini juga adalah hari untuk penentu masa depan negeri Sabah. Sebelum ini rakyat Sabah sudah salah ubah jadi tugas kita dan tanggungjawab kita untuk ajak rakyat Sabah ‘ubah balik’,” ujar beliau.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian ketika berucap dalam dalam program pelancaran jentera BN untuk PRN Sabah hari ini.

Tambah beliau, bagi mengajak rakyat Sabah untuk ‘ubah balik’ maka rakyat di luar sana perlu disedar dan difahamkan tentang matlamat dan tujuan UMNO/BN.

“Matlamat dan tujuan kita tidak ada yang lain selain daripada membela nasib rakyat Sabah. Rakyat Sabah telah ditipu oleh PH/Warisan, mereka telah menjanjikan macam-macam manifesto tapi kerana menipu, mereka akhirnya runtuh.

“Maka peluang kedua ini Allah bagi kepada kita jadi kita harus maklumkan kepada rakyat bahawa inilah peluang yang kita ada dan ia harus rebut… peluang ini mungkin tidak akan ada lagi di masa hadapan.

“Jadi, inilah masa sesuai untuk semua jentera BN di seluruh Sabah bersatu hati, bersatu kekuatan, tekadkan semangat kita, insya-Allah kalau kita bersatu, kita akan menang dalam PRN ini,” ujar beliau.

Namun dalam masa yang sama Bung Moktar turut mengingatkan agar jangan ada yang merajuk selepas pengumuman calon dibuat nanti.

“Jangan pula lepas pengumuman calon banyak yang lesu… yang merajuk. Merajuk satu dua hari ‘OK’ tapi jangan terus merajuk dan ambil tindakan di luar jangka. Hari ini bacaan politik susah diramal, norma baru hari ini lain, pagi ini lain, esok lain tapi saya yakin BN telah melalui proses cabaran, tekanan dan macam-macam proses. Maka hari ini kita buktikan lepas penamaan kita masih boleh bersatu.

“Ingat pepatah orang tua, bersatu teguh bercerai roboh. Tidak ada untung untuk kita berpecah-belah. Kita kena ingat, mana-mana organisasi atau persatuan yang berpecah akhirnya akan diadu-domba dan akan diperkotak-katikkan oleh musuh kita.

“Hari ini, musuh politik kita bercabang-cabang, dari dalam, dari luar dan dari pelbagai pihak tapi ini sudah jadi resam. Sebab itu, kalau tidak mahu berjuang dan tidak mampu menghadapi cabaran, jangan duduk dalam organisasi UMNO, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” tegas beliau.

Selain itu Bung Moktar turut mengingatkan semua jentera untuk mengingatkan semua pengundi bahawa dalam PRN ini, UMNO/BN dan rakan-rakan menawarkan satu tawaran baharu dan akan penuhi setiap tawaran tersebut.

“Janji kita janji ditepati, bukan seperti Warisan/PH janji dicapati, ‘kencing’ di kepala rakyat.

“Kita yakinkan rakyat bahawa politik Sabah akan berubah sebab rakyat minta kita berubah. Jadi, mari kita bersama-sama ubah balik kerajaan, kita bentuk kerajaan yang baru yang boleh laksanakan manifestasi kepada rakyat,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.