PRN Sabah: Jentera BN Siap Sedia Pastikan Sokongan Pengundi

KOTA KINABALU, 8 Sept – Barisan Nasional (BN) siap sedia laksana gerak kerja bagi memastikan pengundi-pengundi Sabah bersama dalam arus perjuangan dengan melancarkan jentera BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 Sept depan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan jentera BN di sini hari ini yang menandakan bahawa parti tersebut bersedia berdepan pelbagai cabaran dalam menoktahkan kemelut politik Sabah yang berlarutan sebelum ini.

Hadir sama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan bersama barisan kepimpinan UMNO Sabah dan ketua-ketua jentera Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh negeri.

Turut bersama Pengerusi MCA Sabah, Lee Wan Ting; wakil MIC dan wakil PBRS.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tarikh penamaan calon pada 12 Sept manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 Sept.

Tempoh berkempen 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding, sehingga 25 Sept.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sebelum itu, bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu tetapi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.