Pertuduhan Dikaitkan Dengan Tabung Haji, Satu Propaganda Politik Tidak Bermoral – Azeez

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Tiada satupun tuduhan melibatkan Tabung Haji (TH), tegas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Katanya, usaha pelbagai media yang mengaitkan jawatan lamanya selaku pengerusi institusi tersebut dengan kes yang sedang berjalan adalah suatu propaganda politik yang tidak bermoral.

“Walaupun berkali-kali telah saya nyatakan bahawa tiadanya pendakwaan berkaitan dengan wang Tabung Haji.

“Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, pihak kami akan meneliti segala fakta kes dan hujahan pendakwaan daripada masa ke semasa.

“Saya tidak akan menjawab di luar mahkamah bagi mengelakkan unsur subjudis,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya.

Abdul Azeez memberi reaksi demikian apabila mendapat banyak pertanyaan daripada kenalannya berkenaan tambahan tuduhan pendakwaan ke atasnya semalam.

“Jadi biar saya terangkan fakta-fakta kes yang sebenarnya berlaku tetapi tidak dilaporkan oleh media.

“Pertuduhan saya telah dipinda oleh pihak pendakwaan. Amaun tuduhan yang dikenakan ke atas saya telah dikurangkan daripada RM140 juta kepada hanya RM14 juta sahaja.

“Ini adalah satu kemenangan daripada segi moral kepada pasukan pembelaan kami,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.

Tambahnya Abdul Azeez lagi, beliau merupakan seorang ahli perniagaan sebelum menceburi bidang politik lagi.

“Walaubagaimanapun, saya merasa bersyukur di atas perkembangan terbaru ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang tidak jemu menadah tangan berdoa untuk keselamatan dan kelancaran urusan saya.

“Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pembela. Dan kebenaran akan diketahui umum juga suatu masa nanti, Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.