Isu Kedaulatan Bukan Kecil, Tuntut Ketegasan Bukan Sekadar Amaran – Shabery

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Wisma Putra perlu lebih tegas dan semua pihak kena bersiap sedia.

Tegasnya, isu kedaulatan negara bukan perkara yang kecil kerana ia menuntut ketegasan bukan sekadar amaran.

Ahmad Shabery berkata demikian mengulas sebuah laporan mengenai tindakan kerajaan Filipina yang mahu membuka semula jabatan khas bagi menggerakkan usaha menuntut hak dan merebut semula Sabah daripada Malaysia.

“Ramai kata jangan layan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Namun kalau suhu semakin panas, apa pun boleh terjadi. Ia terus menggangu kehidupan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Ahmad Shabery lagi, dalam politik ada istilah ‘wag the dog’ yang bermaksud mencari isu besar untuk menutup isu remeh tetapi merosakkan.

“Dulu US (Amerika Syarikat) pernah menyerang negara lain di saat Presidennya Bill Clinton berhadapan isu skandal Lewinsky. Ramai yg kata ini tindakan ‘wag the dog’.

“Pokoknya, bila tindakan tentera diambil, risiko nyawa pasti terjadi,” jelasnya.

Untuk rekod, sebelum ini Filipina juga melakukan provokasi berhubung isu peletakan peta Sabah dalam pasport republik berkenaan.

Ia mendapat tentangan daripada Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata pihaknya tetap memperjuangkan autonomi Sabah dan kerajaan Filipina tiada kuasa untuk memiliki negeri Sabah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.