Tujuh Syarat Penting Pastikan BN Menang PRN Sabah – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 7 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggariskan tujuh syarat penting bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September ini.

Jelas beliau, sekiranya semua garis panduan ini dilaksanakan maka tidak mustahil BN akan kembali mentadbir negeri Sabah.

“Jika kita nak menang ada beberapa syarat yang perlu kita ikuti. Pertama, kita mesti ada matlamat dan matlamat itu hanya satu iaitu kita mesti menang demi rakyat… siapa kita? Kita ialah UMNO, kita ialah BN dan rakan-rakan yang bersama kita.

Kedua, jentera… jentera mesti padu untuk kita bergerak melaksanakan segala gerak kerja. Ketiga, perpaduan, jangan kita berpecah-belah kerana jika kita berpadu kita akan menang, jika berpecah kita akan kalah,” ujar beliau.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika berucap dalam Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO Sabah bersempena dengan PRN Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut jelas Ahmad Maslan, perkara keempat adalah penerangan.

“Kita kena bagi penerangan, jelaskan tentang aku janji, apa yang mahu kita lakukan di Sabah, masalah PTI harus diselesaikan dan lain-lain lagi.

Kelima, serangan, lepas kita beri penerangan kita kena serang. Banyak janji palsu Pakatan Harapan (PH) Warisan… berbaris. Ini semua kita harus beritahu dan ingatkan rakyat.

Keenam ialah calon. Politik ini adalah marathon yang sangat panjang jadi mereka yang belum jadi calon sabar sebab tugas kita ialah menyokong dan pastikan calon menang, tidak kira siapa pun calon itu dan ketujuh adalah pengundi,” ujar beliau.

Jelas beliau, sekiranya semua enam syarat tersebut telah dilaksanakan namun pengundi tidak dijaga maka semuanya akan gagal.

“Kalau kita ada calon yang hebat, jentera yang hebat dan semua perkara telah kita lakukan tapi pengundi kita tidak jaga maka ia akan rosak sebab yang akan mengundi adalah pengundi.

“Maka kita harus menjaga pengundi agar mereka yakin bahawa kita adalah parti terbaik untuk membela nasib rakyat,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan dan barisan kepimpinan UMNO Sabah dan ketua-ketua jentera Puteri seluruh negeri. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.