Tuduhan Jahat RM19.4 Bilion Dirompak Tak Perlu Rujuk Ke Jawatankuasa? Najib Soal Kit Siang

KUALA LUMPUR, 7 Sept – “Takkan jawapan salah tentang seorang pelajar yang Timbalan Menteri sudah minta maaf dan perbetulkan (yang pelajar terbabit pun dah maafkan) perlu rujuk ke jawatankuasa tapi tuduhan jahat RM19.4 bilion dirompak tak perlu rujuk pula?

“Betul tak, Kit Siang?

Demikian soalan yang ditujukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada Penasihat Dap, Lim Kit Siang dalam satu hantaran di Facebook.

Najib mengulas mengenai kenyataan Kit Siang yang menuntut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berhubung kenyataannya ke atas pelajar Sabah, Veveonah Mosibin dengan alasan Zahidi membuat kenyataan tidak betul (yang dia telah mohon maaf) adalah “paling lemah”.

“Baiklah Kit Siang.

“Saya putuskan untuk sokong tuntutan kamu dengan syarat kamu juga sokong bahawa anak kamu Guan Eng juga dirujuk kerana membuat kenyataan palsu serta tuduhan amat jahat dalam Parlimen bahawa BN (Barisan Nasional) dan saya telah rompak duit GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) RM19.4 bilion,” tegasnya.

Seterusnya, Najib berkata ketika itu usul mengheret Guan Eng yang juga Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

“Malah, usul kita untuk membahas laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) berhubung wang GST dirompak pun turut ditolak Speaker PH.

“Laporan PAC yang memakan masa dan tenaga berbulan-bulan oleh berpuluh orang yang dibuat kerana fitnah jahat anak kamu pun tak berani dan tak layak dibahas dalam parlimen? Soalnya lagi.

Ini kerana katanya jika bahas, sudah tentu penipuan Guan Eng dan juga fakta bahawa wang tuntutan GST sebenarnya telah disalahgunakan oleh PH untuk membiayai tempoh bebas cukai tiga bulan mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan terbongkar.

“Fakta bahawa PH tak bayar balik ‘refund’ (wang tuntutan) GST untuk bulan April 2018 dan Mei 2018 juga akan timbul,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.