‘Private Party’ Kesalahan Tertinggi Ingkar PKPP Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kesalahan membabitkan penganjuran ‘private party’ atau pesta persendirian merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada 46 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 15 adalah atas kesalahan itu.

Lain-lain kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa (10), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (8) serta masing-masing satu kes kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan dan penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 26 tangkapan dilakukan oleh PDRM selain rampasan melibatkan lima kenderaan darat.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 ) dan Angkatan Tentera Malaysia (4),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 22,906 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 9,028 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 13,812 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.