Pencerobohan Tanah Kerajaan Di Kuala Perlis: Tindakan Tegas Akan Diambil – Azlan

KANGAR, 5 Sept – Kerajaan Perlis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menceroboh tanah milik kerajaan, tidak kira warga asing atau tempatan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata isu penempatan haram yang berlaku di persisiran pantai Kuala Perlis bukan isu baharu dan beberapa tindakan seperti mengeluarkan notis akan diambil dalam masa terdekat.

“Isu pencerobohan tanah bukan hanya membabitkan warga Rohingya, malah turut melibatkan rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Kompeks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Azlan berkata situasi di Kuala Perlis tidak sama seperti di Bukit Malut, Langkawi kerana kebanyakan penceroboh tanah terdiri daripada rakyat Malaysia dan bukannya pendatang asing, jika adapun jumlah mereka adalah sedikit.

“Kita tidak boleh mendiskriminasikan mereka (penceroboh tanah) kerana mereka adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Azlan berkata sebelum ini beliau telah mengarahkan agensi berkaitan supaya mengambil tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membolehkan tindakan dapat diambil kerana bukan semua agensi terbabit mempunyai kuasa.

Bernama sebelum ini melaporkan kedatangan pendatang asing dari Bukit Malut, Langkawi sebagai nelayan di perairan Kuala Perlis menimbulkan kerisauan penduduk setempat apabila ‘tetamu tidak diundang’ itu mula mendiami di kawasan itu sejak kebelakangan ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.