Dakwa BN Menang Di Slim Dengan Sogokan Bukan Mengejutkan, Alasan Kekalahan – Farid

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Dakwaan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini yang kononnya dikaitkan dengan sogokan wang bukanlah perkara mengejutkan sebaliknya lontaran berkenaan adalah untuk menutup kekalahan calon daripada parti yang dalam proses pendaftaran.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata jika rakan sekutu mereka di dalam Pakatan Harapan (PH) ikhlas untuk bersama-sama sudah pasti jumlah undi yang diperolehi bukan sahaja meningkat malah sekurang-kurangnya hampir menyamai dengan jumlah undi yang diperolehi pada PRU lalu.

“Kalau PH ikhlas memberikan sokongan kepada beliau jumlah undi yang diterima di Slim sudah tentulah sekurang-kurangnya menghampiri angka yang pernah mereka perolehi pada PRU lalu dan apa yang terjadi calonnya kalah,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Lipis, apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan ‘trend’ sokongan kepada BN yang makin meningkat dan perkara tersebut dapat dilihat sejak beberapa PRK yang lalu apabila BN mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

“Dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa BN menang di DUN Slim River disebabkan BN menyogok pengundi saya fikir itu satu dakwaan yang memang biasa dilakukan apabia mendapatikeputusan rakyat tidak berpihak kepadanya.

“Apa yang penting kalau kita lihat dari segi ‘trend’ sejak BN masih lagi bergelar pembangkang sehingga ke hari ini BN memenangi tujuh PRK… mana mungkin BN yang dinafikan segala sumber kewangan… yang masih lagi akaunnya dibekukan dan sebagainya memiliki sumber kewangan untuk menyogok ketujuh-tujuh PRK berkenaan,” ujarnya.

Malah tegas Farid, jika dilihat dari segi undi orang muda pula, mereka juga berpihak kepada BN dan ianya merupakan satu perkembangan yang cukup baik.

“Kalau kita lihat dari segi orang muda apa yang berlaku di semua peti undi muda baik di Slim, Chini dan PRK-PRK sebelum itu ianya memihak kepada BN,” ujarnya.

Farid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengasas parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan mendakwa berlaku banyak sogokan wang dalam pengundian PRK Slim baru-baru ini.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu didapati selepas mengkaji faktor kekalahan calon Pejuang pada PRK Dun Slim.

Dalam perkembangan lain, Farid optimis dan percaya kemenangan terbaru pada PRK DUN Slim baru-baru ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada jentera parti di Sabah untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri berkenaan.

“Senarionya memang berbeza serta berlainan… tetapi apa pun saya yakin keputusan di Slim ini sedikit sebanyak memberikan semangat kepada jentera parti kita di Sabah, insya-Allah jika jentera sama-sama melaksanakan gerak kerja dengan baik dan kempen-kempen berlangsung dengan naratif yang betul dan sebagainya lagi maka rakyat akan memberikan peluang sekali lagi kepada calon-calon BN,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.