UMNO Tidak Akan Pernah Berhasrat Masuk Sarawak, Yakin Kemampuan GPS – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO tidak akan pernah berhasrat untuk masuk ke Sarawak.

Demikian penegasan yang dibuat oleh Ahmad Zahid di dalam Twitternya dan berkata ia adalah keputusan muktamad.

“UMNO yakin dengan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), sementelahan GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah dibentuk untuk merangkumkan ketiga-tiga parti lain yang dahulunya dalam BN (Barisan Nasional).

“UMNO doakan agar GPS akan terus membentuk kerajaan negeri bila PRN (Pilihan Raya Negeri) diadakan kelak,” twitnya lagi.

Sarawak kini diketuai oleh Presiden PBB yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari 2017 bagi menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Januari tahun yang sama.

Sebagai rekod, GPS yang kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan merupakan bekas parti komponen BN yang terdiri daripada empat parti politik tempatan iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dilaporkan juga, PRN Sarawak ke-11 telah diadakan pada 7 Mei 2016 lalu dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.