Syed Saddiq Tinggalkan Tun Kerana Politik Wang… Jom Sertai Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini amat tegar menyokong kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipelawa untuk menyertai pergerakan Pemuda UMNO.

Pelawaan tersebut dizahirkan oleh ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki secara terbuka menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

“Oh, rupanya salah satu punca Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tinggalkan Tun M dan Bersatu kerana budaya politik wang yang membarah. Kalau macam tu ‘jom’ sertai Pemuda UMNO!” katanya.

Terang Dr Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO telah banyak berubah setelah 22 bulan ditakdirkan sebagai pembangkang.

“22 bulan kami ditakdirkan sebagai pembangkang. Alhamdulillah, Pemuda UMNO telah banyak berubah. Proses penyaringan dan penyucian semulajadi berlaku apabila UMNO hilang kuasa.

“Yang mengejar projek dan memperhitungkan wang lebih dahulu meninggalkan wadah kononnya atas nama ‘berhijrah’. Yang tinggal terus bermuhasabah, melakukan koreksi diri dan sama-sama membangunkan kembali wadah dengan wajah dan iltizam baharu untuk menanggalkan budaya lama yang bobrok demi sebuah perjuangan.”

Dalam hal ini beliau menegaskan berbangga dengan kepimpinan Pemuda UMNO yang terus kekal dalam perjuangan.

“Saya bangga dengan seluruh kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO di semua peringkat! Kamu pejuang setia yang sejati. Moga terus istiqomah menerajui perubahan!” katanya lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq dilapor berkata, rampasan kuasa politik melalui “Langkah Sheraton” dan amalan politik wang dalam Bersatu menjadi pendorong gerakan politik barunya selain mengakui bahawa pengalaman dalam parti lamanya iaitu Bersatu di bawah kepimpinan Dr Mahathir menunjukkan hubungan rapat antara wang dan politik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.