Wanita UMNO Sedia Jadi Calon Bantu Kemenangan BN Di PRN Sabah

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan memberikan Wanita UMNO peluang untuk menjadi calon bagi membantu kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Katanya, peluang ini adalah suatu cabaran kepada Wanita UMNO Sabah serta jentera wanita secara keseluruhannya kerana harapan yang diberikan adalah satu amanah dan kebertanggungjawaban yang besar.

“Yang pastinya, saya yakin kerana ramai bakal calon Wanita UMNO mempunyai latar belakang yang baik, kepimpinan dan ketrampilan yang mesra kepada pengundi dan rakyat, calon wanita juga mempunyai semangat juang yang tinggi serta paling penting, insyallah bakal calon ini adalah calon yang diterima pengundi dan calon yang boleh menang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa Wanita UMNO akan sentiasa membantu Presiden selaku Pengerusi BN serta Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah BN PRN Sabah.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO tidak akan sesekali berundur dalam setiap pertempuran kerana sejujurnya, kami sentiasa berada di barisan depan parti bagi menjelaskan setiap isu semasa dan menangani sebarang persepsi yang tidak betul.”

Dilaporkan, Ahmad Zahid dalam ucapan menerusi Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Gerak Kerja JR2.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita UMNO Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini telah mempelawa wanita akan diberikan peluang untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi membantu kemenangan BN.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid turut menyentuh bahawa Wanita UMNO mempunyai ramai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan dan mampu memberikan sumbangan besar kepada kemenangan BN pada 26 September. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.