PRN Sabah: Ketepikan Perbezaan Pendapat, Laksana Kerja Berpasukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak agar ketepikan perbezaan pendapat untuk melaksanakan kerja berpasukan menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, pilihan raya ini adalah peluang kepada UMNO/BN untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

“Ketepikan perbezaan pendapat, noktahkan segala perbalahan, kerja kuat dan laksanakan semangat berpasukan agar BN menang semula pada PRN Sabah. Inilah peluang kedua diberikan kepada UMNO/BN untuk terus memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam ciapan menerusi Twitternya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah mengadakan pertemuan dengan jentera-jentera parti yang dibuat secara berperingkat mengikut zon selain merasmikan Kursus Pemantapan Gerak Kerja JR 2.0 dan pelancaran jentera pilihan raya Wanita UMNO Sabah.

“Semoga mereka semua terus diberikan kekuatan dan semangat bagi mengadapi PRN Sabah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dengan penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11:59 malam 25 September.

SPR juga memaklumkan sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan manakala 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.