BN Sabah Tawar Dasar Makmurkan Ekonomi, Perbaiki Salah Urus Warisan – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata banyak tawaran baharu telah dimasukkan ke dalam Manisfesto Barisan Nasional (BN) negeri yang menyentuh secara keseluruhan termasuk keperluan anak muda masa kini dan dasar yang boleh memakmurkan ekonomi negeri ke satu arah yang lebih baik dan lebih mampan setelah ekonomi negeri kian hancur disebabkan salah urus dasar kerajaan Warisan.

Ujarnya, tawaran BN akan meliputi semua aspek demi kebaikan negeri Sabah dan anak-anak negeri.

“Kita juga mengambil tahu bahawa manifesto yang menyentuh ekonomi negeri haruslah dibuat secara luar biasa kerana keadaan ekonomi pasca COVID-19 hari ini adalah satu keadaan luar biasa yang tidak pernah kita hadapi.

“Kita juga amat menekankan tentang hak-hak negeri Sabah yang telah terambil oleh kerajaan pusat, oleh kerana itu pihak Barisan Nasional telah membuat satu manifesto yang lantang dalam tuntutan hak-hak negeri Sabah selaras dengan autonomi UMNO Sabah yang telah diberikan,” ujarnya dalam satu kenyataan dimuatnaik di Facebook.

Jelasnya juga, beberapa hari yang lalu beliau telah mempengerusikan mesyuarat Manifesto BN Negeri Sabah dan telah dibantu oleh golongan profesional serta dua orang yang berpengalaman besar dalam pentadbiran iaitu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada 26 Sept ini dengan penamaan calon pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.