Anak Muda Diberi Tempat, UMNO Telah Lama Amalkan – Shahrir

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata hakikatnya semua pihak jangan merasa hairan dengan isu anak muda dalam politik negara diberi tempat kerana ianya sudah lama diamalkan oleh UMNO.

Ini kerana katanya, apa yang dilakukan oleh UMNO daripada dahulu lagi ialah mencari dan mempercayai anak-anak muda bangsa yang mempunyai kewarasan dan kematangan lebih dari biasa bagi generasinya.

“Atau dilatih dan bimbing mereka dalam segala sudut pentadbiran dan urustadbir.

“Latihan dan bimbingan, apabila ditambah kepada idealisme, tenaga dan ilmu yang ada pada seseorang anak muda itu, insya-Allah, akan menjadikan anak muda waras dan matang.

“Jadi, tidaklah anak muda itu memalukan generasinya sendiri. Dan tidaklah perlu dia hanya berpaut kepada sifat mudanya itu,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Shahrir memberi reaksi demikian merujuk kepada penulisan di halaman media sosialnya pada 8 dan 12 Ogos lepas yang telah menarik minat beberapa pembaca untuk menyoalnya tentang pendirian dan pendapatnya terhadap keikhlasan UMNO terhadap penglibatan anak muda dalam politik negara.

“Ya lah, mereka kata, Tan Sri dilantik sebagai seorang setiausaha politik pada usia yang muda. Itu pada tahun tujuh puluhan. Adakah peluang yang sama diberi kepada anak muda yang lain selepas itu?

“Itu betul. Saya menyertai politik pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika itu, sememangnya ada usaha untuk melibatkan seberapa ramai anak muda dalam pemerintahan negara,” kata bekas Pengerusi Felda itu lagi.

Malahan tambahnya, bukan sahaja oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bahkan Allahyarham Datuk Harun Idris juga sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah menyediakan kuota untuk dilantik sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia dari kalangan mereka di bawah usia 30 tahun.

“Dan kemunculan awal anak-anak muda ini telah membuka jalan untuk mereka berada di persada politik. Ada yang sudah tiada. Ada juga yang masih berada dalam politik negara.

“Umpamanya, DS (Datuk Seri) Nazri Aziz telah dilantik ahli Exco Pemuda UMNO pada zaman itu. Dia masih memegang kerusi parlimen Padang Rengas,” ujarnya lagi.

Ulasnya juga, amalan memberi peluang kepada anak muda telah beliau teruskan sendiri.

“Saya melantik Mohd Khaled Nordin sebagai setiausaha politik saya apabila saya menjadi menteri penuh pada 1984. Ketika itu, Khaled berusia 25 tahun.

“Apabila saya undur diri sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru pada 1990, Khaled mengganti saya sebagai calon BN (Barisan Nasional) dan telah menang kerusi itu. Masa itu, Khaled berusia 32 tahun,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.